suria

Korea buru Pati, bakal diusir dan diharamkan masuk Korea selama 10 tahun

Sekumpulan rakyat Malaysia yang dibawa oleh ejen pekerjaan untuk menjadi buruh di Korea Selatan. - Facebook

POLIS Korea dan Kementerian Kehakiman negara itu telah melancarkan kerjasama untuk memburu pekerja asing yang tidak memiliki dokumen dan majikan Korea yang mengambil mereka bekerja.

Tindakan keras itu akan berlangsung selama satu bulan di mana pegawai terlibat akan memantau dengan ketat kawasan tempat kerja yang diketahui memiliki banyak buruh asing tidak sah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana Winter Sonata, Rakyat Malaysia Bergelar Buruh Haram, Gelandangan

ARTIKEL BERKAITAN: Enam Kelompok Pati Malaysia Di Korea Selatan

Menurut laporan Korea Times, sasaran utama agensi itu termasuk tapak pembinaan, rumah urut, bar dan kemudahan hiburan malam yang lain.

Pekerja asing tanpa izin akan dikenakan tindakan pengusiran dan diharamkan memasuki Korea selama 10 tahun.

Majikan yang didapati menggaji pekerja asing tanpa izin terbabit akan didakwa.

Kementerian Kehakiman merancang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Korea yang lain untuk meningkatkan kecekapan tindakan tersebut.

"Tindakan keras itu akan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan dan dengan langkah-langkah keselamatan yang ada bagi memastikan tiada sesiapa mengalami kecederaan semasa operasi dijalankan," kata seorang pegawai Kementerian Kehakiman.

Awal tahun lalu, mStar Online membuat laporan eksklusif mengenai nasib kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang bermula sebagai pelancong ketika menjejakkan kaki ke Korea Selatan, berubah daripada berstatus pekerja asing tanpa izin atau buruh haram dan akhirnya bergelar gelandangan.

Perubahan status itu boleh berlaku bila-bila masa hanya dalam tempoh tiga bulan, selepas mereka masuk ke negara K-pop ini gara-gara teruja dengan tawaran iklan pekerjaan dengan gaji lumayan.

Namun, bukan semua keindahan seperti yang dipaparkan drama popular Korea, Winter Sonata itu menjadi realiti apabila ada antara mereka yang berdepan pelbagai keperitan hidup selepas membayar kos antara RM2,500 hingga RM4,500 kepada ejen. - Korea Times

Buruh Haram, Korea Selatan

Artikel Lain