ISTERI kepada seorang lelaki berusia 62 tahun tampil bersuara selepas suaminya itu dikecam hebat gara-gara jarak usia mereka berbeza 43 tahun. Samantha Simpson, 19, bertemu dengan suaminya, JR, menerusi seorang rakan ketika dia beusia 18 tahun. Selepas beberapa bulan pasangan tersebut akhirnya bercinta. Namun hubungan mereka tidak direstui keluarga Samantha kerana jarak usia mereka yang jauh berbeza. Susulan itu, Samantha berpindah ke sebuah apartmen di Berryville, Arkansas, Amerika Syarikat (AS) dan tinggal bersama JR. Mereka akhirnya bertunang dan berkahwin pada 8 Januari 2018 selepas bercinta selama setahun. Dan kini mereka berusaha untuk mendapatkan cahaya mata. Samantha mengakui hidup gembira bersama JR. Meskipun hubungan mereka serius, Samantha yang juga seorang pelajar berkata suaminya itu sering dibuli dan digelar sebagai pedofilia. "Apabila kami keluar, orang ramai akan salah faham, mereka ingat saya keluar bersama datuk. Ia amat mengecewakan saya. "Namun lebih teruk apabila orang ramai memanggil JR sebagai pedofilia apabila mereka melihat kami berpegangan tangan di tempat awam. "Kami berdepan masa sukar dengan keluarga dan rakan juga tidak menerima hubungan kami, jadi apabila orang tidak dikenali berkata bukan-bukan, ia amat melampau. "Kami hanya mahu orang ramai tahu kami gembira bersama dan serius dalam hubungan," kata Samantha. Samantha berkata dia jatuh hati dengan sikap gentleman suaminya. "Dia amat gentleman. Dia sentiasa bercakap sopan sama ada ketika kami bertemu atau berbual di telefon. Samantha dan JR bertemu menerusi rakan mereka. "Dia memiliki sesuatu yang tidak pernah saya temui pada seorang lelaki sebelum ini. "Saya pernah keluar berjanji temu dengan lelaki sebaya saya tetapi mereka tidak matang dan tidak tahu melayan pasangan mereka," katanya. Meskipun JR ada memiliki anak hasil perkahwinan terdahulu, Samantha berkata mereka mahu mempunyai anak sendiri. "Saya dalam proses mahu hamil kerana merasakan sudah tiba masanya. Saya harap selepas kami ada anak, tiada lagi kecaman diterima suami saya. "Saya harap dengan berkongsi kisah kami, orang ramai akan menyedari ia bukan jenaka dan kami amat serius antara satu sama lain meskipun jarak usia kami jauh berbeza," katanya. - Metro.co.uk