suria

Hugh Jackman catat rekod dunia, paling lama lakonkan watak Wolverine

IMPIAN aktor Hugh Jackman akhirnya tercapai apabila diiktiraf Guinness World Records atas pencapaiannya dalam bidang lakonan.

Bintang yang dikenali dengan nama Wolverine itu mendapat penghormatan sebagai pemegang watak adiwira paling lama.

Anugerah itu disampaikan kepada Jackman ketika hadir pada program bual bicara menerusi stesen British TV pada pagi Rabu, demikian lapor aceshowbiz.com.

Jackman sendiri terkejut dengan anugerah yang diterimanya, malahan majlis ringkas itu diatur tanpa pengetahuannya.

Jackman yang memainkan watak adiwira itu selama 16 tahun dan 228 hari itu menerima anugerah itu bersama pelakon X-Men, Sir Patrick Stewart yang memegang watak Professor Charles Xavier (Professor X).

"Ketika zaman kanak-kanak, Guinness World Records adalah sesuatu yang saya inginkan dan kini saya memperolehinya. Sebab itu jugalah saya berkecimpung dalam bidang lakonan, terima kasih," kata pelakon itu.

Menerusi temu bual sebelum ini, bintang kelahiran Australia itu mengharapkan kejayaan The Greatest Showman dapat menjadi penanda aras untuk mencatat sejarah dirinya.

"Impian saya sejak kecil, malah abang saya juga untuk mencatat Guinness World Records. Kami cuba bermain badminton selama 48 jam, kami membaling syiling menggunakan siku dan baru sekarang saya sedar mungkin telah mencapainya," katanya.

Berita pencapaian Jackman ini menyusul apabila aktor itu hampir menjadi ahli kelab prestij EGOT selepas memenangi Anugerah Grammy untuk Kompilasi Terbaik Runut Bunyi Media Visual menerusi filem The Greatest Showman.

Jackman memulakan kerjaya sebagai pelakon teater muzikal pernah menangi Anugerah Emmy dan Tony.-IndiaToday



Artikel Lain