suria

Lebah terbesar dunia ditemui semula selepas berpuluh tahun dianggap musnah

LEBAH terbesar di dunia ditemui semula selepas pakar menganggap serangga tersebut telah musnah selama berpuluh-puluh tahun dulu.

Lebah raksasa dengan ukuran panjang ibu jari manusia dewasa ditemui di salah sebuah pulau di Indonesia yang jarang-jarang diterokai.

Setelah beberapa hari mencari, sepasukan ahli menemui seekor lebah betina yang masih hidup, sebelum gambarnya dirakam.

Dikenali sebagai lebah raksasa Wallace, serangga ini diberi nama oleh pencinta alam dan penjelajah Inggeris, Alfred Russel Wallace yang menyebut tentang kewujudannya pada tahun 1858.

Sejumlah saintis menemui beberapa spesimen lebah tersebut pada 1981, tetapi selepas itu ia tidak pernah ditemui lagi.

Pada Januari, pasukan yang mengikuti jejak Wallace ketika melakukan perjalanan di Indonesia berusaha untuk mencari dan merakam lebah itu.

"Sangat mengejutkan melihat serangga 'bulldog terbang' yang kami tak yakin masih wujud, nyata ada di depan kami di hutan tebal," kata jurugambar sejarah alam, Clay Bolt, yang pertama kali mengambil foto dan video spesies tersebut dalam keadaan hidup.

"Betul-betul nampak betapa indah dan besarnya spesies ini dalam keadaan hidup dan mendengar bunyi sayap raksasanya terbang di atas kepala saya sangat menakjubkan," katanya.

Penemuan di kepulauan wilayah Maluku Utara ini meningkatkan keyakinan bahawa hutan di kawasan tersebut masih menyimpan salah satu serangga yang paling pelik dan sering dicari di dunia.

Buat masa ini tidak terdapat undang-undang perlindungan berhubung perdagangannya.

Ahli pasukan dan ahli lebah, Eli Wyman, dari Princeton University, berharap penemuan semula ini akan membantu dalam penelitian seterusnya untuk lebih memahami sejarah kehidupan lebah dan memberikan maklumat tentang usaha lanjutan bagi melindunginya daripada musnah.

Global Wildlife Conservation (GWC), telah melancarkan pencarian sedunia bagi 'spesies hilang' yang menyokong penelitian ini.

"Dengan menjadikan lebah sebagai simbol konservasi dunia, kami yakin bahawa spesies ini mempunyai masa depan yang lebih cerah daripada jika kita hanya membiarkannya terus dilupakan," kata Robin Moore.

Pada Januari, kumpulan tersebut mengumumkan penemuan seekor katak jantan 'rare' Bolivia. -CNN

lebah, besar, dunia, Wallace

Artikel Lain