SEORANG bayi perempuan yang dipercayai ditinggalkan oleh ibunya sejurus selepas dilahirkan, ditemui di bilik mandi balai polis. Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Isnin, pegawai-pegawai yang bekerja syif malam di balai polis Mueang Chiang Mai dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh seorang tukang cuci. Dia sedang mencuci bilik mandi di bangunan siasatan apabila mendengar suara tangisan, menurut sukarelawan Suraphon dari Yayasan Penyelamat Ruamjai. Di situ dia dilaporkan menemui bayi yang baru lahir di atas penutup tandas dan melihat darah di lantai. Walaupun ibunya masih belum ditemui, para pegawai percaya bayi itu dilahirkan hanya sejam sebelum dia ditemui, menurut laporan Khaosod. Pegawai yang tiba di tempat kejadian mendapati bayi itu dalam keadaan sangat lemah dan suhu badannya sangat rendah selain uri masih dibadannya, menurut Sanook. Penyelamat memberikan bantuan kecemasan kepada bayi berkenaan sebelum membawanya ke Hospital Maharaj Nakorn Chiang Mai. Setakat ini polis masih belum mengenal pasti ibu bayi, seorang pegawai di Balai Polis Chiang Mai memberitahu Coconuts Bangkok petang Isnin. Selepas memeriksa rakaman CCTV di kawasan itu, polis mengenal pasti beberapa suspek yang berpotensi tetapi masih tidak pasti kerana terdapat acara berlangsung berhampiran balai yang menyebabkan ramai orang awam masuk ke situ untuk menggunakan tandas. -MSN