suria

Staf dihina, diugut, peruncit sukan terkemuka batal penjualan tudung sukan di Perancis

Permintaan untuk produk ini bermula dari Maghribi yang kemudian mendapat sambutan menggalakkan.

PERUNCIT sukan Perancis, Decathlon membatalkan rancangan menjual hijab untuk pelari wanita di negara itu berikutan bantahan awam.

Firma itu berkata pihaknya telah memutuskan untuk menggantung produk tersebut berikutan 'gelombang hinaan' dan 'ancaman yang belum pernah terjadi'.

Ahli-ahli politik Perancis berkata 'tudung larian' bertentangan dengan nilai sekular negara dan beberapa penggubal undang-undang mencadangkan jenama itu diboikot.

Decathlon pada mulanya mempertahankan produknya itu, yang sudah dijual di Maghribi.

Isu mengenai bagaimana wanita Islam berpakaian di khalayak ramai sering mencetuskan kontroversi di Perancis.

"Kami membuat keputusan... untuk tidak memasarkan produk ini di Perancis pada masa ini," kata jurucakap Decathlon, Xavier Rivoire kepada RTL radio, Selasa.

Dia sebelum ini memberitahu agensi berita AFP bahawa keputusan awal dibuat untuk 'menjadikan sukan dapat diakses oleh semua wanita di dunia'.

Tudung kepala dengan kain tanpa corak dan ringan, yang menutup rambut, bukan wajah, dijual di 49 negara dari bulan Mac.

-foto AFP/Getty

Pengilang peralatan sukan Nike telah memasarkan tudung sukan di Perancis sejak tahun 2017.

Syarikat milik Perancis itu berkata pihaknya telah menerima 500 panggilan dan emel aduan tentang 'tudung larian', dengan beberapa kakitangannya di stor dihina malah diancam secara fizikal.

Menteri Kesihatan Agnès Buzyn memberitahu RTL bahawa walaupun produk tersebut tidak dilarang di Perancis, 'itu adalah satu visi wanita yang saya tidak kongsikan, saya lebih suka jika jenama Perancis tidak mempromosikan tudung itu'.

Jurucakap Presiden La Emperor Macron, La République en Marche, Aurore Bergé juga mencadangkan boikot.

"Pilihan saya sebagai seorang wanita dan warganegara adalah untuk tidak lagi mempercayai jenama yang memisahkan diri daripada nilai-nilai kita," katanya.

Menjawab kepada Ms Bergé di Twitter, Decathlon berkata: "Matlamat kami adalah mudah, untuk menawarkan wanita yang sering berlari dengan hijab yang tidak sesuai, dengan produk sukan yang disesuaikan, tanpa membuat penghakiman."

Tudung yang dipakai wanita Muslim dibenarkan di ruang awam di Perancis, tetapi telah diharamkan di sekolah-sekolah dan beberapa bangunan awam sejak tahun 2004.

Pada tahun 2016, beberapa kawasan di Perancis mengharamkan baju renang Muslimah dari pantainya.

Pengharaman itu kemudian diperintah oleh pengadilan tertinggi Perancis sebagai tidak sah.

Pengharaman ini menyebabkan beberapa kumpulan hak asasi menuduh Perancis sebagai Islamophobia dan mempunyai stigma terhadap wanita Islam, setelah menghalang penutupan muka penuh pada tahun 2010. -BBC News

Decathlon, hijab, sukan Muslimah, tudung

Artikel Lain