SEORANG budak lelaki berusia sembilan tahun dihalau keluar dari sebuah kedai barangan kemas selepas cuba merompak menggunakan pistol palsu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis di Argentina menunjukkan budak lelaki itu berjalan ke kaunter sebelum mengeluarkan pistol palsu dari seluarnya. Insiden berlaku di bandar Moreno, di Buenos Aires, Argentina pada 16 Februari lalu. Pemilik kedai, Nicolas Garcia kelihatan tenang semasa didatangi budak lelaki itu dan kemudian mengarahkannya keluar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku. "Budak itu beritahu saya untuk berikannya semua, dan jangan bertindak kerana dia akan 'membakar' saya," kata Garcia kepada La Nacion. "Saya fikir ia sekadar pistol mainan, saya tidak dapat bayangkan dia bercakap dengan saya secara serius. Dia kemudian memegang budak itu dan membawanya keluar dari kedainya. Ibu kanak-kanak itu yang hanya mahu dikenali sebagai Daniela berkata, dia mengenal pasti anaknya menerusi rakaman CCTV dan mengesahkan bahawa pistol tersebut adalah palsu. Ibu kepada enam anak itu memberitahu, anak lelakinya dibuang sekolah pada tahun lalu kerana menanggalkan seluarnya di hadapan rakan sekelasnya. - Mirror UK