PERBALAHAN antara dua konduktor kereta api menyebabkan sebuah lokomotif tanpa pemandu memecut dan menghentam sebuah penghadang sebelum meletup di stesen keretapi utama di Mesir pada Rabu. Pihak berkuasa berkata, insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang maut. Sementara itu, pegawai keretapi berkata, tren tunggal itu bertembung kepala-ke-kepala dengan alat penghenti landasan dan menyebabkan letupan besar berlaku. Sekurang-kurangnya 47 yang lain mengalami kecederaan termasuk dalam keadaan kritikal dan pegawai kerajaan menganggarkan jumlah kematian akan meningkat. Api marak ke arah orang ramai yang berada di platform Stesen Ramses yang sibuk di pusat bandar Kaherah. Sebuah video pengawasan menunjukkan detik perlanggaran itu berlaku ketika kereta api tersebut melepasi orang awam yang sedang berjalan dan menelan mereka dalam api dan asap tebal. Mayat-mayat yang rentung terbaring di landasan kereta api dan seorang lelaki yang sedang terbakar berlari menuruni anak tangga dalam keadaan panik. Pendakwaraya Mesir, Jeneral Nabil Sadek berkata, pasukan penyiasat yakin bahawa konduktor lokomotif tersebut meninggalkan tren itu untuk bergaduh dengan seorang lagi konduktor yang mengadang kereta api yang dipandunya. Pasukan bomba menghalakan pili air ke arah kereta api yang terbakar. - Foto AP Namun, konduktor terbabit pergi tanpa meletakkan brek dan sebuah lagi tren mula bergerak ke belakang, membuatkan ia berada dalam keadaan bebas gerak. Tindakan itu menyebabkan tren tersebut memecut dan menghentam penghadang konkrit serta logam sebelum meletup. Ujian DNA dijalankan bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang terkorban. Pemandu kereta api terbabit ditahan untuk siasatan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Kabinet, kejadian itu juga membuatkan Menteri Pengangkutan Mesir, Hisham Arafat letak jawatan serta-merta. Ramses merupakan kawasan paling sibuk dan padat di Kaherah. - Time