PENGGUNA rokok elektronik boleh memberi risiko kepada masalah jantung. Jelas satu kajian di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna yang mengalami serangan jantung 34 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mengguna rokok elektronik itu. Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti umur, jantina, BMI (Indeks Jisim badan), tahap kolesterol, tekanan darah dan pengguna tembakau. Pengguna rokok elektronik ini juga 25 peratus berisiko mempunyai masalah utama jantung dan 55 peratus berdepan dengan kemurungan, jelas kajian berkenaan. Pembantu profesor di Fakulti Perubatan, Universiti Kansas, Mohinder Vindhyal berkata: "Sehingga kini, maklumat amat terhad mengenai berlakunya masalah kardiovaskular berkaitan dengan rokok elektronik. "Data yang diperolehi merupakan satu peringatan dan perlu bertindak serta memberi kesedaran tentang bahayanya roko elektronik ini. "Saya tidak mahu pesakit-pesakit atau ahli keluarga menghisap vape," jelasnya. Bagaimanapun laporan tidak mendedahkan bagaimana punca dan kesan berkaitan dengan kajian itu. Kajian mengenai pengguna vape masih lagi peringkat awal memandangkan ia masih baharu di pasaran AS lebih kurang sedekad. Pihak berkuasa kesihatan di AS juga memantau peningkatan penggunaan rokok elektronik menggunakan bateri dan menyedut cecair nikotin yang mempunyai pelbagai perasa buah-buahan. Rokok elektronik tidak mengandungi produk penyebab kanser seperti yang terdapat dalam tembakau. Tetapi di samping kesan ketagihan yang berkaitan nikotin, pakar kesihatan awam lebih memberi tumpuan kepada kesan pemanasan kartrij cecair nikotin ketika mengguna pada suhu tinggi. Untuk kajian yang akan dibentangkan minggu depan di American College of Cardiology, para penyelidik mengkaji respon hampir 100,000 orang pada tahun 2014, 2016 dan 2017. Kajian permulaan ini tidak boleh dikatakan vape menyebabkan masalah jantung, atau mencadangkan mekanisme biologi bagaimana ini boleh berlaku. Kajian jangka panjang pengguna-pengguna vape diperlukan untuk mencapai kesimpulannya. - metro.co.uk