suria

Gadis dilarang masuk Australia untuk lawat bapa kerana menghidap Sindrom Down

Ashleigh pernah berkunjung ke Australia beberapa kali sebelum ini tanpa memerlukan bukti perubatan. Foto SWN

SEORANG gadis yang menghidap Sindrom Down tidak dibenarkan masuk ke Australia, melainkan dia lulus dalam pemeriksaan perubatan.

Ashleigh Callaway, 24, memohon visa lawatan selama empat minggu untuk menziarahi bapanya dan saudara-mara yang lain di Perth, Australia.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi Australia menolak permohonannya dan memberitahu bahawa dia memerlukan sijil perubatan khusus untuk memasuki negara itu.

Ibu Ashleigh iaitu Karen Tweedie berkata: "Meluat. Kamu atau saya tidak akan diminta menjalani perubatan - ini hanya kerana dia menghidap (Sindrom) Down.

"Anda tidak akan fikir ini akan berlaku pada abad ke-21.

"Mereka tidak melayannya sebagai individu dengan hak asasi manusia, sama seperti orang lain. Dia tidak sepatutnya mengalami tekanan dan kebimbangan ini."

Ashleigh yang tinggal di rumah kebajikan di Sittingbourne, Kent di England kini tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan.

Karen yang bekerja di NHS membantu keluarga orang yang menderita penyakit psikiatri berkata: "Jika dia memerlukan perhatian semasa berada di luar sana, dia bukanlah menjadi beban di Australia kerana dia akan mendapat insurans perubatan."

Keluarganya beberapa kali mengalami kesulitan dengan pihak berkuasa Australia.

Ashleigh sebelum ini membuat beberapa lawatan percutian tanpa diminta menjalani pemeriksaan perubatan tetapi keluarga sebelum ini terpaksa mendapatkan surat daripada sekolahnya dan bukti pemastautin di United Kingdom. - Mirror UK

Sindrom Down

Artikel Lain