PENGAWAL selia penerbangan Singapura pada Selasa mengarahkan penerbangan pesawat Boeing 737 MAX digantung sementara, berikutan nahas pesawat Ethiopian Airlines yang meragut nyawa kesemua 157 penumpang, lapor agensi berita Xinhua. "Berikutan nahas membabitkan pesawat Boeing dalam tempoh kurang lima bulan, pihak berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menggantung operasi semua pesawat Boeing 737 MAX," kata CAAS dalam satu kenyataan. "Penggantungan itu berkuatkuasa pada 12 Mac, 2019," tambah kenyataan itu. Pesawat Ethiopian Airlines menuju ke Nairobi, Kenya itu terhempas beberapa minit sejurus berlepas pada Ahad, mengorbankan kesemua 157 penumpang. Ia kemalangan pesawat kedua selepas sebuah lagi pesawat dikendalikan Lion Air Indonesia terhempas pada Oktober.- Bernama