SEMINGGU sebelum Carol Karanja menaiki pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas awal pagi Ahad lalu, dia ada menghantar mesej kepada adiknya memberitahu dia berasa tidak sedap hati. "Hati saya tidak begitu teruja. Saya rasa seperti ada sesuatu yang buruk akan berlaku, tapi saya tidak tahu apa," demikian mesej yang dihantar Karanja menerusi aplikasi WhatsAppnya. Carol berlepas dari Kanada ke Kenya bersama tiga orang anak serta ibunya. Dia juga amat bimbang mengenai perjalanan mereka ke sana apabila turut menghantar mesej meluahkan rasa tidak sedap hati kepada bapanya sebelum menaiki pesawat malang itu. Ruby Pauls turut maut dalam nahas tersebut. Adik kepada Carol, Kelly Karanja bertanya tarikh sebenar dia akan tiba dan meminta supaya dia berdoa agar segalanya selamat. "10 Mac. Saya akan beritahu anda masanya," tulis Carol. Namun Carol tidak tiba di negara kelahirannya, Kenya. Dia antara 157 yang terbunuh apabila pesawat yang dinaikinya terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarbangsa Bole di Addis Ababa. Turut terkorban ibu Carol, Ann Wangui Karanjai dan juga tiga anaknya, Ryan Njoroge, 7, Kellie Pauls, 4, dan Rubi Pauls, sembilan bulan. Mereka sekeluarga pulang ke Kenya buat pertama kalinya untuk bertemu keluarga mereka di sana. - CNN