suria

Wanita dihalau keluar dari pesawat kerana berpakaian tidak senonoh

Emily tidak dibenarkan menaik Thomas Cook kerana pemakaian tidak senonoh. Foto: Emily O'Connor

GARA-GARA berpakaian tidak senonoh, seorang wanita diberi amaran supaya menutup pakaiannya yang mendedahkan atau tidak dibenarkan menaiki pesawat Thomas Cook.

Emily O'Connor, 21, tidak mempunyai sebarang masalah ketika berdepan dengan kawalan pasport untuk penerbangan dari Birmingham, England menuju ke Tenerife, Afrika Barat.

"Thomas Cook beritahu saya yang mereka tidak membenarkan saya menaiki pesawat atas alasan pakaian tidak sopan," katanya.

Bercakap kepada Metro UK, dia berkata: "Kejadian ini benar-benar merosakkan percutian saya. Saya berasa gementar dan malu. Saya merasakan ia sangat berprejudis terhadap wanita."

Menurutnya, dia tidak memakai sebarang jaket kerana merasakan pakaiannya tidak mengundang masalah.

"Mereka tanya mana bagasi saya untuk dibawa keluar dari pesawat," kata Emily sambil menambah dia dikelilingi oleh pengurus penerbangan dan pegawai keselamatan sambil diperhatikan oleh kira-kira 300 penumpang.

Emily memutuskan untuk memuat naik status secara terbuka di Twitter mengenai perkhidmatan Thomas Cook yang tidak memuaskan kerana lambat membuat permohonan maaf.

Jurucakap Thomas Cook berkata: "Kami mohon maaf kerana mengguris perasaan Emily.

"Sudah jelas kami telah mampu mengatasi keadaan ini dengan lebih baik. Sama seperti syarikat penerbangan lain, kami juga mengamalkan polisi pakaian yang bersesuaian.

"Semua penumpang lelaki dan perempuan perlu mengikut polisi yang ditetapkan tanpa sebarang diskriminasi," menurut Thomas Cook.-metro.co.uk

penerbangan, dihalau

Artikel Lain