SEORANG ibu di China dilaporkan meninggalkan anak lelakinya berusia 12 tahun di jalan yang sibuk di bandar Luoyang, hanya kerana memperoleh markah 81 peratus dalam peperiksaan. Bagi ibunya, pencapaian anaknya itu tidak mencukupi. Pegawai polis di daerah Gucheng di Luoyang menemui kanak-kanak itu merayau selepas ditinggalkan ibunya sebelum memandu pergi. Mereka dimaklumkan oleh orang awam yang menyaksikan seorang wanita menghentikan kenderaan, menarik keluar berkenan sebelum memarahi dan memukulnya serta dibiarkan keseorangan. Bercakap kepada pemberita, pegawai polis memberitahu budak lelaki itu ditinggalkan kerana tidak mencapai sasaran 95 peratus yang ditetapkan oleh ibunya, dalam peperiksaan baru-baru ini. Ibu mangsa kemudian dikenal pasti menerusi nombor pendaftaran kenderaan, dan dipanggil polis untuk mengambil anaknya di balai polis. Mengejutkan apabila ibu kanak-kanak itu memberitahu dia tidak mahu anaknya kembali dan dia tidak akan tampil meskipun pihak polis memberi amaran untuk mendakwannya. "Saya tidak mahu dia (anak) lagi. Kamu boleh buat apa saja dengan dia. Malah kamu boleh dakwa saya," kata ibu berkenaan menerusi panggilan telefon. Menurut laporan polis, kanak-kanak tersebut dibawa pulang oleh bapa saudaranya selepas sejam berada di balai polis. Tidak dipastikan sama ada dia kemudian diambil oleh ibunya atau polis merancang untuk mendakwa wanita tersebut. - odditycentral