suria

Hanya kerana kerepek kentang, lelaki tergamak hempas burung ke dinding

Jones hampir membunuh seekor burung hanya kerana kentang.Foto:RSPCA

HANYA disebabkan kerepek kentang, seorang lelaki menghempas dan membunuh seekor burung yang cuba mengambil kudapan itu.

Orang ramai terkejut selepas melihat kelakuan lelaki berkenaan, John Llewellyn Jones yang bertindak kejam terhadap burung itu apabila menghempasnya ke dinding sehingga ia dalam keadaan lemah.

Jones berasal dari Cardiff itu menafikan kesalahannya, namun Mahkamah Majistret Utara Somerset mendapati dia bersalah selepas mendengar keterangan saksi kejadian itu.

Insiden itu berlaku ketika warga emas berusia 64 itu berkunjung ke Weston-super-Mare pada Julai tahun lalu.

Rachael Beer yang melihat kejadian tersebut memberitahu:"Saya lihat burung itu cuba mengambil kentang daripada pinggan yang dipegang lelaki itu.

"Tiba-tiba dia terus menangkap kaki burung itu dan menghempasnya ke dinding.

"Ketika itu burung malang itu tidak mati, matanya masih berkedip.

"Kebetulan ada seseorang yang baik hati membawa burung itu ke klinik haiwan. Ia tidak sepatutnya diperlakukan begitu," kata Beer.

Namun, haiwan malang itu terpaksa dimatikan oleh doktor haiwan.

Tindakan kejam Jones juga menyebabkan beberapa kanak-kanak menangis ketakutan selepas melihat keadaan burung itu.

Pada prosiding itu, mengikut Akta Hidupan Liar 1981, tertuduh dihukum perintah berkurung selama 12 minggu antara jam 8 malam hingga 8 pagi.

Selain itu, Jones juga diarahkan membayar denda, masing-masing sebanyak £750 (RM4,065.90) dan £85(RM460.80).-dailystar.co.uk

burung, kentang

Artikel Berikut

Artikel Lain