FACEBOOK dan Instagram tergendala serta tidak boleh diakses penggunanya di seluruh dunia pada Khamis. Ketika anda boleh membuka kedua-dua platform, beberapa perkhidmatan nampaknya sudah dipulihkan. Pengguna melaporkan berdepan beberapa masalah seperti tidak boleh menghantar mesej di Messenger, memuatnaik status di semua produk Facebook dan mengakses ciri-ciri lain di Facebook.com, Instagram dan WhatsApp. Punca gangguan itu masih belum didedahkan kepada umum. "Kami menyedari beberapa pengguna sedang menghadapi masalah untuk mengakses aplikasi Facebook. "Kami sedang berusaha menyelesaikan isu itu secepat mungkin," kata Facebook dalam satu kenyataan. Sebagai reaksi balas kepada khabar angin yang disiarkan di rangkaian sosial lain, Facebook berkata gangguan itu bukan disebabkan serangan DDos. Gangguan itu bermula sejak pukul 4 petang Rabu waktu tempatan. Pengguna Facebook masih belum boleh memuatnaik sebarang posting. Malah pengguna Instagram pula tidak dapat memuatnaik gambar atau video baharu. Facebook mengalami gangguan paling teruk dalam sejarah perkhidmatannya apabila tidak dapat digunakan pengguna di seluruh dunia sejak Rabu. Kali terakhir Facebook berdepan gangguan itu pada 2008 ketika pengguna media sosial itu mempunyai 150 juta pengguna berbanding kira-kira 2.3 bilion pengguna setiap bulan hari ini. - BBC.com