suria

Ibu bertarung kanser tunai hajat kirim mesej khas pada kasut kahwin anak tersayang

Mesej tertulis di tapak kasut pengantin Emma. Foto:laceandloveshoes/instagram

SUNGGUH sayu hati seorang bakal pengantin perempuan, Emma apabila menerima satu mesej rahsia daripada ibu tercinta yang ditulis pada tapak kasut yang akan disarung pada hari perkahwinannya.

Emma,38 yang bakal melangsungkan perkahwinannya pada Ogos tidak dapat meraikan hari bahagianya dengan ibu tersayang selepas wanita yang melahirkannya itu meninggal dunia pada 2017.

Ibu Emma disahkan menghidap penyakit kanser sebulan selepas dia bertunang dengan lelaki pilihannya, Richard pada 2016.

Wanita yang berasal dari Emma Kibworth Beauchamp di Leicestershire, Britain itu memberitahu BBC:"Saya sungguh sedih dan amat sukar untuk merancang perkahwinan yang bakal berlangsung ini tanpa ibu di sisi.

Kasut perkahwinan pemberian ibunya itu ditempah khas untuk perkahwinan Emma dengan tertulis satu mesej pada tapak kasut berwarna keemasan itu.

Mesej di tapak kasut itu berbunyi:"Ini hadiah sempena perkahwinan mu. Kasut perkahwinan ini pemberian saya khas buat mu.

"Semoga berbahagia pada hari yang indah itu...Ibu." demikian catatan istimewa daripada ibu Emma.

Emma sama sekali tidak menyangka ada mesej khas daripada ibunya yang diterimanya minggu lalu.

"Saya sama sekali tidak tahu kecuali tunang saya yang dah tahu lebih awal. Ia sememangnya satu kejutan.

"Saya mengambil kasut tersebut dan melihat ada mesej tersebut namun tidak terfikir siapa yang menulisnya," kata Emma.

Hanya apabila menyedari mesej itu sebenarnya daripada ibu kesayangannya, Emma begitu terharu.

"Saya mula menangis dan sungguh terkilan," ujarnya.

Emma berkongsi cerita dan foto kasut pemberian ibunya di laman Facebook. 

Rata-rata pengguna laman sosial itu memberi kata semangat dan sokongan kepadanya.

Ibu Emma hanya berpeluang untuk hidup kurang dua tahun selepas disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru.

"Ini adalah hadiah paling istimewa buat saya," ujar Emma.-metro.co.uk

Artikel Lain