suria

Ibu muda tular gara-gara miliki tabiat pelik mengidam makan sabun, siap buat ulasan!

Khosik Assyifa merakam aksinya makan sabun sambil membuat ulasan. - Foto Viral Press

SEORANG ibu menjadi sensasi internet kerana memiliki selera mengidam yang pelik.

Dia menjadi semakin popular selepas merakam perbuatannya menjilat sabun sambil membuat ulasan mengenainya.

Khosik Assyifa, 21, berkata dia mula menjilat sabun ketika mengandungkan anak lelakinya yang dipanggil Mo, pada 2017.

Ketika itu, wanita berkenaan mengakui malu memiliki selera mengidam yang aneh.

Dia turut menyembunyikan tentang perkara tersebut daripada pengetahuan suaminya.

Orang ramai suka dengan ulasan saya. Saya boleh membezakan sabun terbaik hanya dengan merasainya menggunakan lidah.

KHOSIK ASSYIFA

Khosik Assyifa sering mengunci dirinya di dalam bilik air agar dia dapat memenuhi 'seleranya' secara bersendirian.

Walaupun keinginannya itu semakin berkurangan selepas melahirkan anak, ibu muda terbabit masih meneruskan perbuatan tersebut.

Namun, dia tidak lagi menyembuyikannya daripada pengetahuan rakan-rakan dan keluarga.

Ibu yang berasal dari Timur Jawa, Indonesia itu turut merakam video dirinya makan sabun.

Khosik Assyifa juga memiliki ribuan pengikut yang ternanti-nanti ulasannya tentang pelbagai jenama sabun.

"Semuanya bermula ketika saya secara tidak sengaja merasa sabun sewaktu berada di dalam bilik air.

"Ia rasa seperti buah-buahan dan saya mula menghisap sabun itu.

"Lama-kelamaan saya mula sukakannya dan melakukannya lagi.

"Orang ramai suka dengan ulasan saya. Saya boleh membezakan sabun terbaik hanya dengan merasainya menggunakan lidah," kata wanita tersebut.

Wanita itu juga berkata dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan anaknya juga sangat sihat.

"Saya tidak pernah mengalami apa-apa kesan sampingan atau jatuh sakit disebabkan perbuatan memakan sabun," ujarnya. - Lad Bible

makan sabun, Khosik Assyifa

Artikel Lain