SEORANG senator Australia dikecam kerana mengeluarkan kata-kata keterlaluan susulan serangan keganasan yang berlaku di dua masjid di New Zealand. Kenyataan oleh senator Queensland, Fraser Anning diselar di media sosial setelah memuat naik posting di Facebook pada Jumaat. Posting itu turut menyertakan gambar yang kelihatan seperti serangan pengganas Muslim terdahulu berserta kapsyen: "Di manakah kemarahan (orang) dari sebelah kiri apabila pengganas Muslim membunuh dari masa ke semasa lagi?" "Pada serangan pengganas Muslim yang akan datang, (orang) di kiri akan tetap diam seperti biasa dan menggunakan alasan 'penyakit mental, orang persendirian, tiada kaitan dengan Islam," kata senator itu. Posting itu mendapat 11,000 reaksi, 27,000 komen dan hampir 4,000 perkongsian setakat laporan ini ditulis oleh The Star pada pukul 7.34 petang Jumaat. Ramai yang meninggalkan komen berasa marah dengan kenyataan Anning dan terkejut bahawa kata-kata itu datang daripada seorang senator Australia. Julie Kidd berkata: "49 nyawa yang tidak bersalah dibunuh sewaktu solat dan ini adalah tindak balas Anning. "Anda tidak mempunyai tempat di Parlimen kami atau bahkan berjalan dalam kalangan manusia. Anning, anda membuatkan kami berasa malu." Sementara itu, Sam Weingott menambah: "Ada orang yang mati pada hari ini (Jumaat). Mereka baru sahaja menjalani kehidupan harian seperti biasa, tanpa kesan atau kekejaman. Anda selamat. Anda bukan orang yang baik." Manakala, Vickie Angel pula berkata: "Malulah kamu Fraser Anning kerana menggunakan tragedi ini untuk tujuan politik. Menjijikkan." Menurut laporan oleh news.com.au, Senator Anning mengeluarkan kenyataan media awal hari ini yang dikutuk secara meluas di media sosial. Beliau berkata bahawa serangan itu menunjukkan "ketakutan yang semakin meningkat terhadap kehadiran umat Islam yang berkembang" dalam komuniti Australia dan New Zealand. - The Star