SENATOR Queensland di Australia, Fraser Anning diserang menggunakan telur ketika sedang bercakap kepada media di sebuah mesyuarat politik di Moorabbin, Melbourne. Rakaman insiden tersebut menunjukkan seorang pemuda berdiri di sebelah senator berkenaan sebelum dia sendiri merakam dirinya memecahkan telur di belakang kepala Anning. Sebagai tindak balas, Anning menumbuk pemuda terbabit dua kali sehingga terkena bahagian kepalanya. Seorang kakitangan Anning bertindak pantas memisahkan senator tersebut daripada pemuda itu, sementara penyokongnya 'menenangkan' penyerang berkenaan sehingga jatuh ke lantai. Pemuda itu kemudian diiringi keluar oleh pihak polis. Jurucakap Polis Victoria berkata, remaja berusia 17 tahun berkenaan yang berasal dari Hampton sudah dibebaskan selepas disoal siasat. Satu laman mengutip derma diwujudkan untuk membayar kos perundangan remaja tersebut dan supaya dia dapat membeli 'lebih banyak telur'. Perdana Menteri Scott Morrison pada Sabtu mengumumkan bahawa parti Coalition and Labor akan meluluskan satu usul apabila Parlimen kembali bersidang pada bulan depan. Beliau mengkritik Anning yang mengeluarkan kenyataan mengaitkan serangan masjid Christchurch dengan imigrasi. "Saya benar-benar mengutuk kenyataan Senator Anning yang mengaitkan serangan pengganas mengerikan ini dengan isu imigrasi, dalam serangannya terhadap kepercayaan orang Islam secara khususnya," kata Morrison. Ketua pembangkang negara itu, Bill Shorten pula berkata komentar yang dikeluarkan oleh Anning adalah menjijikkan. "Saya tidak rasa senator itu berfikiran sama dengan kami. "Saya tidak mengimpikan seorang pemimpin politik dunia atau mana-mana orang Australia bertindak menyalahkan mangsa dan mereka yang maut," kata Shorten. - ABC Au