suria

Pakar dakwa Tarrant tiada gangguan mental, pengganas anggap dirinya seorang pemikir

Tarrant. - Foto daripada video penembang via AP

LAPORAN pakar psikologi forensik yang meneliti tulisan pengganas yang menembak mati orang awam atas nama pemurnian bangsa mendapati dia tidak memiliki tanda-tanda mengalami gangguan mental (psikosis).

Brenton Tarrant yang disabitkan dengan tuduhan membunuh 49 nyawa di dua masjid di Christchurch meninggalkan dokumen yang mengandungi 16,500 perkataan, memperincikan sebab dia melakukan serangan tersebut.

Pengarah Bersama Institut Keselamatan dan Sains Jenayah New Zealand, Dr Devon Polaschek berkata, Tarrant tidak mengalami psikosis berdasarkan asas yang ada pada dokumen tersebut.

Adalah penting untuk memaklumkan bahawa Dr Polaschek tidak memeriksa Tarrant dan dia hanya mengeluarkan pandangan berdasarkan dokumen tersebut yang boleh didapati secara dalam talian.

Dr Polaschek berkata, walaupun sudah jelas bahawa Tarrant mudah terpengaruh dengan sebab yang lemah, tulisannya penuh dengan perdebatan yang membuktikan bahawa dia tidak hidup dalam fantasi delusi.

"Dia telah menghabiskan masa terlalu lama merenungi idea-idea tertentu, tetapi idea-idea itu dikongsi oleh orang lain.

"Dia tidak berpendidikan, tetapi dia bukan lelaki yang bodoh," katanya.

Tarrant yang tidak lulus sekolah menengah berusaha untuk mendidik dirinya sendiri.

"Masalahnya adalah dia mengajar diri sendiri (self-educated) dan memilih maklumat tertentu dengan sendiri.

"Ia menguatkan lagi tentang apa yang bermain di fikirannya," ujarnya lagi.

Tarrant merujuk beberapa perenggan puisi dalam dokumen tersebut sekurang-kurangnya tiga kali, termasuk karya oleh Dylan Thomas dan Rudyard Kipling serta beberapa idea pemikir berhaluan kanan.

Dr Polaschek berkata, Tarrant cuba untuk menggambarkan dirinya sebagai seorang pemikir. - Newshub NZ

Artikel Lain