GARA-GARA terlalu lama membiarkan pelanggan menunggu untuk menikmati hidangan pecel lele (hidangan nasi dan ikan keli goreng) di gerainya, seorang peniaga cedera akibat diserang. Jurucakap polis Bekasi, Komisioner Erna Ruswing berkata, kejadian pada kira-kira 2.30 pagi itu berlaku di Jalan Raya Jatimakmur, Pondok Gede. Penyerang dikatakan telah meminta supaya penjaja, Achmad Zunaidi, menyiapkan hidangan pecel lele untuknya. "Ketika itu, penjaja berusia 49 tahun itu sibuk memenuhi tempahan pelanggan lain. "Pelanggan barunya yang tidak sabar menunggu kemudiannya telah bertindak menyerang dan menumbuknya," kata Erna kepada kompas.com. Penyerang telah menumbuknya beberapa kali hingga mangsa menjerit meminta pertolongan adik lelakinya yang berniaga berhampiran gerainya. "Sebaik adik mangsa tiba di lokasi kejadian, penyerang itu masih menumbuk dan memukul penjaja berkenaan dengan kayu," kata Erna. Penyerang itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal, manakala mangsa dibawa ke hospital Kramatjati di Jakarta Timur untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan pada wajahnya. Menurut Erna, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Pondok Gede dan kini polis sedang memburu penyerang terbabit.-thejakartapost.com