SEORANG ibu muda tergamak membunuh bayinya yang berusia tiga minggu gara-gara cemburu dengan suami sendiri. Menurut kenyataan polis, suaminya menyedari kejadian itu setelah dia masuk ke dalam bilik di kediaman mereka sebelum melihat isterinya itu dalam keadaan berlumuran darah. Lebih mengejutkan, dia juga menemui bayi mereka dalam keadaan berdarah di sisi isterinya. Dalam kejadian di Rivne, Ukraine itu, polis berjaya mendapatkan bukti utama iaitu pisau dengan kesan darah di dalam sinki di kediaman berkenaan. Dalam pada itu, ibu mertua gadis berkenaan mendakwa menantunya melakukan perbuatan tersebut kerana rasa cemburu. "Dia cemburu. Dia fikir suaminya lebih sayang anak mereka. "Baru pagi ini saya mandikan cucu saya, kini dia sudah tiada," ujar wanita yang dikenali sebagai Maria Momot itu. Ujar Maria, dia seolah-olah tidak percaya perkara itu boleh berlaku dalam keluarganya. "Ibu bayi itu pun tak boleh jelaskan apa yang berlaku. "Dia tak ingat pun ada yang dia sudah lakukan," ujar Maria lagi. Suspek kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menentukan status mentalnya. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun. - Daily Star.