suria

Dr Evil dipenjara 40 bulan selepas potong telinga pelanggan tanpa ubat bius

Keadaan telinga pelanggan Dr Evil yang dipotong tanpa menggunakan ubat bius. - Anorak

SEORANG pembuat tatu yang dikenali sebagai Dr Evil dijatuhkan hukuman penjara 40 bulan selepas melakukan prosedur memotong telinga dan puting di atas permintaan dua pelanggannya.

Brendan McCarthy mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan pada bulan lalu kerana menyebabkan kecederaan tubuh yang serius dengan niat.

Hakim Amjad Nawaz berkata, McCarthy tidak mempunyai kelayakan untuk menjalankan prosedur pembedahan atau menangani sebarang perkara tidak diingini yang mungkin akan timbul.

Hakim memberitahu artis pengubahsuaian badan itu: "Ada unsur kepentingan orang awam yang jelas. Terdapat juga keperluan untuk menghalang (daripada berlaku)."

Dr Evil mengaku bersalah. - Foto Aaron Chown/PA

Pelanggan yang dipotong telinganya pada 2015, Ezechiel Lott dihubungi oleh polis selepas McCarthy mengaku bersalah.

Pendakwaraya, Peter Grieves-Smith QS membaca komen yang dibuat oleh Lott kepada polis dan berkata, dia "berasa seperti telah ditipu" kerana ketika itu dia percaya bahawa prosedur tersebut adalah sah di sisi undang-undang.

"Dia (Lott) kata kalau dia tahu perbuatan itu salah di sisi undang-undang, dia tidak akan melakukannya kerana dia tidak terdesak untuk memotong telinganya," kata Grieves-Smith.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa pemotongan telinga itu dilakukan tanpa mengunakan ubat bius. - The Guardian

tatu, potong telinga

Artikel Lain