suria

Pokok berdiri teguh di tempat duduk stadium jadi ‘penyokong setia’, dapat kad dan jersi kelab

Pokok yang tumbuh di tempat duduk di stadium Kelab Sukan Resistencia. Foto Facebook Resistencia Sport Club

KELAB bola sepak divisyen dua di Paraguay, Amerika Selatan iaitu Kelab Sukan Resistencia sebagai yang pertama di dunia menjadikan sebatang pokok yang tumbuh di tempat duduk penonton di stadium sebagai ahli kelabnya.

Malah, kelab itu menawarkan kad keahlian dan jersi pasukan secara percuma.

Penyokong 'hijau' Resistencia dianggap sebahagian daripada sejarah dalam kalangan pasukan itu dan penyokong.

Pada asalnya, tapak stadium hanya merupakan padang dengan tanah yang lapang.

Namun, 20 tahun lalu kelab itu memutuskan untuk membina tempat duduk buat penyokong, tanpa bercadang menebang 'penyokong tertua'nya.

Penyokong setia Resistencia berada di stadium 24 jam sehari. Foto Facebook Resistencia Sport Club

Sebaliknya, mereka meminta arkitek dan jurutera yang bertanggungjawab dalam projek itu untuk membuat penyelesaian bagi membolehkan pokok tersebut terus tumbuh.

Oleh itu, mereka membina stadium di sekeliling pokok itu, sekali gus membolehkan penyokong lain dapat menonton perlawanan dan berteduh di bawahnya.

Ketika Resistencia meraikan ulang tahun ke-100 beberapa tahun lalu, pihak pengurusan memutuskan untuk memberi penghormatan kepada pokok itu dengan menjadikannya sebagai ahli rasmi kelab, lengkap dengan kad keahlian dan jersinya sendiri.

"Ia menjadi seorang lagi ahli kelab buat kami, dan mungkin yang paling setia kerana ia di sini selama 24 jam sehari," kata presiden Kelab Sukan Resistencia, Roberto Garcete kepada pemberita. - odditycentral

Resistencia

Artikel Lain