GLOBAL Peace Mission (GPM) Malaysia merancang untuk menamakan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang kurang upaya dari Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, sebagai wira kerana membantu pelancong asing berpindah keluar ketika gempa bumi menggegarkan pulau itu, baru-baru ini. Taufik, merupakan kanak-kanak yang mempunyai kekurangan iaitu pekak dan bisu, dari kampung Senaru di Lombok Utara, membantu pelancong Malaysia untuk mencari jalan keluar dari Air Terjun Tiu Kelep, apabila gempa bumi berukuran 5.4 magnitud berlaku dan mengakibatkan tanah runtuh pada Ahad lalu. "InsyaAllah kita akan menamakannya... simbol kepahlawanan dan keberanian dalam menyelamatkan nyawa di saat mereka amat memerlukannya," kata Ketua Pegawai Operasi GPM Malaysia, Syahrir Azfar Saleh, dipetik sebagai berkata oleh Antara pada Khamis lalu. Gempa bumi menyebabkan tanah runtuh di daerah itu, mengorbankan sekurang-kurangnya dua rakyat Malaysia dan mencederakan lebih 30 orang, kebanyakannya adalah pelancong asing dan tempatan. Wong Siew Lim, rakyat Malaysia yang mengalami cedera ringan di lengannya, berkata Taufik telah membantunya dan pelancong lain berpindah dari kawasan tersebut dengan selamat selepas tanah runtuh akibat gempa berlaku di sekitar kawasan air terjun ketika mereka bersiar-siar. "Semasa dia dibawa keluar, Taufik membantu kami dengan menunjukkan jalan keluar dari lokasi (air terjun)," katanya yang amat berterima kasih dengan kanak-kanak itu. Syahrir berkata, GPM sedang berusaha mendapatkan sokongan daripada Malaysia, agar kanak-kanak itu boleh dinamakan sebagai seorang wira di sana. Menurutnya, kisah wira kanak-kanak itu juga akan diberitahu kepada keluarga diraja. "Kita juga ingin mewujudkan peluang untuknya menjalani kehidupan normal, mungkin kita boleh bawa Taufik ke Malaysia," katanya sambil menambah bahawa GPM akan berusaha untuk menyediakan sebarang rawatan perubatan yang diperlukannya. Syahrir berkata, organisasi itu juga akan memberitahu rakyat Malaysia agar tidak bimbang berkunjung ke Lombok. - The Jakarta Post / Asia News Network