SEORANG nenek mempunyai permintaan pelik iaitu meminta dirinya ditangkap oleh polis walaupun tidak pernah melanggar undang-undang. Anne Brokenbrow, 104, tersenyum ketika petugas menangkap dan menggari tangannya di sebuah rumah penjagaan di Bristol. Brokenbrow sebenarnya telah menyatakan keinginannya untuk ditangkap sebagai sebahagian daripada aktiviti amal yang mana warga di rumah penjagaan Stokeleigh Care Home itu diminta menulis hajat mereka. ”Keinginan saya adalah untuk ditangkap. Saya berusia 104 tahun dan saya tidak pernah melanggar peraturan," tulis Brokenbrow kepada polis menerusi emel, memetik Sky News. Brokenbrow yang menderita dimensia, digari oleh petugas Stephen Harding dan rakannya Kelly Foyle sebelum dibawa menaiki kereta polis. ”Saya memiliki hari yang indah, ini menarik. Tidak pernah ini terjadi kepada saya sebelum ini. Mereka memakaikan saya gari. ”Bagaimana rasanya menjadi penjahat? Ya, itu akan membuat saya lebih berhati-hati dengan apa yang saya katakan dan lakukan. Tetapi polis sangat baik," katanya. “Permintaa Anne untuk ditangkap ditunaikan pada usianya 104 tahun, kerana menjadi warganegara yang baik. Itu adalah sesuatu yang selalu ingin dia rasakan," menurut kenyataan rumah penjagaan itu di Facebook. Brokenbrow telah berada di situ selama 10 bulan dan secara rutin dikunjungi oleh cucunya Sasha. Dia pernah bekerja sebagai setiausaha. “Rakan saya, Stephen Harding menangkapnya, setakat yang saya tahu dia adalah orang tertua yang pernah dia tangkap . Dia tersenyum, dia sangat senang," kata Foyle. ”Ini semua bermula ketika saya menerima emel untuk amal. Kami adalah sebahagian daripada pasukan polis kejiranan ini, ini tugas kami, ini adalah permintaan luar biasa yang pernah kami terima," kata Foyle. Petugas lain, Rob Cole menambah, ini adalah pertama kali polis menangkap seseorang di rumah orang tua. ”Dia terkejut melihat kami, saya tidak fikir dia dapat ingat pada awalnya bahawa dia sendiri ingin ditangkap. Tapi ketika dia melihat kami dan digari, dia setuju dan dia tidak menolak," katanya.