SEPERTI yang diketahui ramai, India merupakan antara negara yang lantang dalam membendung populariti luar biasa permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG). Sebelum ini, Gujerat dan beberapa bandar di negara itu sudahpun mengharamkan permainan itu yang didakwa banyak memberi kesan buruk kepada anak muda. Sebagai respon balas, syarikat pembangun PUBG, Tencent bakal menjalankan satu ujian skrin khusus untuk menetapkan had masa untuk pemain permainan itu. Menurut pihak Tencent, individu yang bermain PUBG melebihi dua jam dan berlarutan hingga empat jam kemudian akan 'dikunci' daripada permainan itu. Ini bermakna, sesiapa yang bermain PUBG melebihi enam jam tidak akan mendapat akses untuk permainan itu sehingga hari seterusnya. Dalam pada itu, pembangun PUBG juga komited dalam menjadikan permainan itu sebagai satu wadah hiburan belia yang tidak membawa kesan buruk. "Kami sedang berusaha untuk menyediakan sistem permainan yang lebih sihat di India. "Ia membolehkan pemain bermain dengan seimbang, lebih bertanggungjawab dan mempunyai had masa untuk pemain bawah umur," ujar wakil syarikat itu. Untuk rekod, pihak berkuasa Gujerat sebelum ini pernah menahan 21 pelajar yang bermain permainan itu. Ia susulan pengharaman PUBG di bandar berkenaan. - Xda-Developers.