suria

Gara-gara juruterbang enggan lencongkan pesawat, pengantin baharu sakit, maut selepas pulang bulan madu

Brittany meninggal dunia tiga hari selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Texas.

SEORANG pengantin baharu meninggal dunia selepas balik dari bulan madu  selepas juruterbang menolak permintaan doktor yang menggesa supaya pesawat tersebut dilencongkan.

Keluarga Brittany Oswell berkata seorang doktor di dalam pesawat penerbangan dari Honolulu, Hawaii meminta agar pesawat itu mendarat selepas wanita berusia 25 tahun itu mengalami pendarahan pada paru-paru.

Bagaimanapun juruterbang American Airlines enggan melencongkan penerbangan tersebut semasa insiden kecemasan pada April 2016.

Brittany juga seorang jururawat tidak memberikan reaksi balas dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Baylor di Texas sebaik sahaja pesawat itu mendarat.

Wanita itu yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga dengan Cory Oswell meninggal dunia tiga hari kemudian.

Keluarga Brittany kini memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan itu dengan mengatakan pesawat itu sepatutnya dilencongkan dan tindakan juruterbang menghalang peluang wanita tersebut untuk terus hidup.

Juruterbang American Airlines didakwa enggan melencongkan penerbangan semasa Brittany sedang sakit di dalam pesawat.

Ibu Brittany, Tina Starks dari Columbia di Selatan Carolina berkata:"Pesawat itu perlu mendarat supaya dia boleh mendapatkan rawatan segera di hospital berdekatan bukan di dalam pesawat."

Bapa Brittany, Chris Starks turut mengecam American Airlines dan menggesa krew kabin untuk menerima latihan perubatan minimal ketika berdepan situasi kecemasan di dalam pesawat.

Kes tersebut dipindahkan dari sebuah mahkamah berhampiran dengan kediaman mereka di Selatan Carolina ke Fort Worth, Texas pada 27 Mac lalu.

Hakim menjelaskan pemindahan kes itu dilokasi Brittany meninggal dunia dan dekat ibu pejabat American Airlines akan memudahkan saksi hadir ke mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes bagaimanapun belum ditetapkan. - Metro.co.uk

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan