suria

Kulit dinosaur yang sempurna di dunia pertama kali ditemui

Pasukan pengkaji menyifatkan kulit kaki dinosaur yang ditemui mereka sebagai jejak sempurna. -foto IFLScience

BERPULUH-puluh juta tahun lalu, seekor dinosaur kecil terperangkap dalam cuaca ribut di Korea.

Dinosaur itu adalah jenis Minisauripus, dinosaur terkecil yang panjangnya kurang dari 20cm.

Bagaimanapun, tak siapa menyangka peristiwa itu meninggalkan kesan dan ia ditemui baru-baru ini.

Namun kali ini kumpulan pakar bukan menemui fosil dinosaur sebaliknya mereka menemui jejak kaki beserta kesan kulit yang sempurna dari Minisauripus yang terawet.

Penemuan seperti ini belum pernah berlaku sebelum ini.

“Ini kali pertama pakar menemui permukaan kulit yang sempurna," kata peneliti Martin Lockley, memetik IFL Science, Rabu.

Penemuan bersejarah di bandar Jinju, Korea Selatan.

Kebiasaannya kumpulan pakar hanya menemui sisa-sisa atau tisu seperti otot dan kulit.

Lockley dan pasukannya menemui jejak bersejarah itu berhampiran bandar Jinju, Korea Selatan ketika melakukan ekspedisi berskala besar.

Pakar berpendapat jejak itu melekat setelah Minisauripus memijak permukaan lumpur sebelum tekstur kulit kakinya tercetak dengan sempurna tanpa terusik.

“Jejak kaki itu menempel pada lapisan lumpur yang sangat tipis, mungkin tebalnya hanya sekitar satu milimeter," kata Lockley.

Sama seperti cap jari manusia, pola kulit berbagai kelompok dinosaur juga mempunyai kepelbagaian.

Perkara ini berfungsi sebagai penanda untuk perbezaan anatomi.

Lebih jauh lagi, penemuan kali ini menunjukkan kesempurnaan dari kaki dinosaur ketika masih hidup.

Bagi kumpulan pakar, ia juga berfungsi menambah informasi tentang bagaimana spesies theropoda berjalan.

Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports itu juga menggambarkan tekstur kulitnya mirip dengan burung berbulu dari China.

Selain itu, penemuan ini juga akan mengukuhkan kajian tentang Minisauripus dari Korea. -IFLScience

kulit, dinosaur, Korea, pakar

Artikel Lain