DUA biji mangga premium mencatat rekod apabila ditawarkan pada harga ¥500,000 (RM18,450) pada acara lelongan di pasar borong di wilayah Miyazaki, Jepun baru-baru ini. Lelongan yang pertama musim ini telah meletakkan mangga istimewa yang dinamakan Taiyo no Tamago atau Telur Matahari itu lebih mahal berbanding yang ditawarkan tahun lalu iaitu ¥400,000 (RM14,761). Sebelum ia ditawarkan kepada umum, hasil tanaman perlu memenuhi beberapa kriteria iaitu, beratnya sekurang-kurangnya 350gram setiap satu, mengandungi kadar gula yang tinggi dan lebih 50 peratus kulitnya berwarna merah. Syarat berkenaan telah ditetapkan oleh Persekutuan Ekonomi Pertanian Miyazaki. Pengunjung termasuk petani dan usahawan tempatan memenuhi pasar borong Miyazaki untuk acara lelongan buah-buahan yang baru dituai musim ini. Acara lelongan buah-buahan yang bermula pada kira-kira jam 7 pagi itu dipenuhi pengunjung yang kemudiannya terkejut mendengar pengumuman harga bagi dua biji mangga berkenaan. Ia dibeli syarikat pemborong barangan tempatan di Miyazaki. "Harga belian mangga itu sekurang-kurangnya memberi semangat kepada penanam mangga untuk terus menghasilkan tahanam yang bermutu," kata pekerja syarikat berkenaan, Shota Tatemoto, 35. Diserahkan kepada pemiliknya dalam bekas khas dengan beratnya mencecah kira-kira satu kilogram, ia akan dijual di sebuah pasar raya di Fukuoka. Musim tuaian mangga dijangka bermula pada pertengahan Mei hingga Jun.