suria

Pengkaji dedah 20 tikus tunjukkan kelakuan aneh apabila dibawa ke luar angkasa

Tikus-tikus menunjukkan reaksi baik ketika dibawa ke angkasa lepas.

SEKARANG ini bukan hanya manusia saja yang pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Sebanyak 20 ekor tikus turut dibawa menemani kumpulan angkasawan di Rodent Research Facility milik Nasa yang terletak di luar stesen angkasa lepas tersebut.

Penyesuaian diri terhadap keadaan persekitaran yang baharu menjadi cabaran yang mesti diatasi angkasawan yang terlibat termasuklah haiwan-haiwan yang dibawa.

Adakah cabaran penyesuaian ini turut mempengaruhi tikus? Jawabnya ya... dan ia nampak sedikit mengerikan.

Menurut hasil satu kajian terbaharu yang telah diterbitkan di jurnal Scientific Reports, tingkah-laku tikus yang konsisten terus berubah selepas empat hari perjalanan dari Bumi ke ISS.

Ia dapat dilihat berdasarkan hasil penelitian terhadap 20 ekor tikus itu yang diperhatikan melalui sejumlah kamera sepanjang berada di stesen luar angkasa dan selepas perjalanan ke ISS.

Secara amnya, tikus-tikus itu memiliki daya tahan yang baik untuk hidup di luar angkasa secara semula jadi.

Secara umumnya, tikus mampu menyesuaikan diri dengan baik apabila berada di angkasa lepas.

Tikus-tikus ini menunjukkan sikap normal, mampu makan dengan baik, merawat diri malah menjalinkan interaksi sosial sesama sendiri.

"Semua 20 tikus yang diterbangkan bagi percubaan pertama dari habitat Rodent di ISS mampu bertahan dengan sangat baik dari segi kesihatan sepanjang misi," tulis kajian tersebut, memetik IFLScience.

"Tikus-tikus itu menunjukkan tahap aktiviti fizik yang konsisten dan kuat dalam seluruh misi."

Pada hari-hari awal pasca-penerbangan atau perjalanan dari Bumi ke ISS, keadaan badan 20 tikus itu masih stabil. Selain itu, keadaan bulu mereka juga baik.

Bagaimanapun, setelah seminggu selepas perjalanan ke ISS, beberapa ekor tikus yang lebih muda mula menunjukkan kelakuan aneh.

Berdasarkan dokumentasi, banyak tikus mula berlari laju, berpusing-pusing mengelilingi sangkar.

Ia bermula dengan seekor tikus dan tidak lama kemudian 'berjangkit' kepada tikus-tikus lain yang melakukannya secara koordinasi.

Pengkaji masih belum mengetahui punca tikus-tikus itu bertindak seperti itu tetapi berdasarkan pemerhatian tingkah laku ini, ia adalah tindakan unik yang mungkin mempunyai kaitan dengan kapal angkasa dan 'latihan fizikal' yang dibuat selepas menyesuaikan diri dengan keadaan luar angkasa lepas.

Walaupun tingkah laku aneh tikus-tikus itu nampak mengerikan, hasil penelitian ini dianggap sebagai petunjuk positif bagi manusia.

Ini kerana, hasil kajian menunjukkan keadaan tubuh tikus-tikus adalah baik, malah mampu beradaptasi untuk bergerak secara pantas di luar angkasa dalam keadaan tiada graviti.

Tikus merupakan sampel yang baik untuk membuat jangkaan tentang kesan jangka panjang terhadap manusia ketika berada di luar angkasa, sama ada dari aspek psikologi atau fizik.

Melalui hasil kaji selidik ini, pakar dapat mempelajari lebih lanjut tentang kesan perjalanan luar angkasa pada tubuh manusia.

Selain meneliti kesan kondisi luar angkasa terhadap tikus, Nasa juga sudah meneliti kesan kondisi luar angkasa terhadap manusia secara langsung dengan melibatkan sepasang angkasawan kembar, Scott dan Mark Kelly. -IFLScience

tikus, Nasa, angkasa lepas

Artikel Lain