MALANG tidak berbau, begitulah yang dapat digambarkan mengenai nasib dua pelancong Britain yang meninggal dunia sewaktu memandu kenderaan buggy di sebuah gunung Santorini, Greece. Lelaki dan wanita itu, masing-masing berusia 26 tahun meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam gaung dari ketinggian 213 meter. Gunung Porifitis Ikias di lokasi itu merupakan puncak tertinggi di pulau berkenaan. Ia juga sering menjadi lokasi pelancongan tumpuan warga Britain. Dua individu itu disahkan maut di tempat kejadian dan mayat sudah dibawa keluar dari gaung berkenaan. "Kakitangan kami sedang membantu keluarga mangsa dan mereka sudah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan," ujar jurucakap Pejabat Asing Commonwealth yang mengesahkan kejadian itu. - Daily Star.