suria

Kakak tinggalkan adik dalam perut ibu selama 97 hari, bayi kembar lahir tahun berasingan dianggap sensasi

Pasangan kembar Liana dan Leonie dianggap sebagai 'sensasi perubatan' apabila usia mereka berbeza 97 hari. -foto CEN

PASANGAN kembar perempuan yang lahir berasingan dengan jarak lebih dari tiga bulan dalam tahun yang berbeza dianggap sebagai satu 'sensasi perubatan'.

Ia dipercayai yang pertama di dunia oleh pasukan medik.

Liana dilahirkan pra-matang pada 17 November tahun lepas ketika usia kandungan ibunya, Oxana, dari Cologne, Jerman, hanya 26 minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang wanita lahir bayi kembar, tapi selepas diperiksa bapa mereka lain-lain

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kembar' tumpang tubuh bayi lelaki berjaya dipisahkan

Pada 22 Februari, Oxana melahirkan Leonie, lewat empat hari dari tarikh dia dijangka bersalin.

Berat Liana hanyalah 900gram ketika dia dilahirkan.

Jurucakap hospital berkata: "Selepas kelahiran pertama kembar itu, serviks tertutup semula dan seorang lagi pasangannya yang belum lahir dapat terus berada dalam rahim."

Doktor juga memutuskan bahawa Oxana boleh mengandungkan anak perempuannya yang kedua tanpa masalah.

Hospital tempat pasangan kembar unik ini dilahirkan.

Ketua wad bersalin di Hospital Holweide, Jerman, Dr Uwe Schellenberger berkata: "Keadaannya juga sangat baik bersama plasenta kedua yang sedia ada dan kami ingin biarkan anak keduanya betul-betul matang dalam rahim."

Leonie dilahirkan berbeza 97 hari dengan kakaknya Liana dan beratnya adalah 3.7 kilogram semasa kelahiran.

Dr Schellenberger berkata: "Ia juga merupakan kes yang jarang berlaku untuk klinik bersalin kami, tetapi bukan kali pertama kembar dilahirkan pada hari berbeza di hospital Holweide. Tetapi perbezaan 97 hari adalah unik untuk kami dan seluruh dunia."

Media setempat menggambarkan kelahiran sebagai ini sebagai 'sensasi perubatan' dan menurut hospital, ia mungkin menjadi rekod dunia.

Jurucakap hospital berkata: "Kembar lahir dua kali seperti ini sangat jarang berlaku di seluruh dunia. Mengikut penyelidikan kami sendiri, kembar dengan perbezaan masa 87 hari dilahirkan di Ireland pada tahun 2012."

Liana menghabiskan minggu pertama selepas kelahiran di unit penjagaan perinatal hospital untuk mendapatkan kekuatan penuh selepas kelahiran pramatangnya.

Jurucakap itu berkata: "Kedua-dua bayi perempuan itu bersatu semula di rumah keluarga mereka dan akan membesar dengan sihat." -Mirror

kembar, pramatang, sensasi

Artikel Lain