suria

Padah lelaki cemburu, gali terowong intip bekas teman wanita...akhirnya terperangkap sendiri

Terowong yang digali untuk mengintai bekas teman wanitanya akhirnya 'memerangkap' diri lelaki cemburu.

SEORANG lelaki terpaksa diselamatkan selepas 'memerangkap dirinya' dalam lubang yang digali untuk mengintip pergerakan bekas teman wanitanya.

Tindakannya itu dilakukan selepas lelaki itu diperintahkan mahkamah untuk menjauhkan diri daripada wanita berkenaan.

Pejabat peguam negeri Sonora berkata, lelaki berusia 50 tahun itu menghabiskan masa berhari-hari menggali lubang itu di Puerto Penasco, sebuah bandar di Teluk California.

Bagaimanapun dia tidak bernasib baik apabila terperangkap hingga terpaksa mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan diri.

Lelaki yang pernah bertindak kejam terhadap bekas teman wanita itu kini telah melanggar perintah mahkamah dan dipenjarakan.

Akhbar EI Universal berkata, lelaki itu menggali terowong sehingga ke rumah wanita itu.

Malahan, wanita berkenaan telah memaklumkan polis dia mendengar bunyi mencurigakan sepanjang minggu tetapi mengabaikannya kerana menganggap ia perbuatan kucing.

Tetapi, katanya, apabila bunyi semakin kuat, dia mula menyiasat dan mendapati bekas teman lelakinya selama 14 tahun itu telah terperangkap dalam terowong itu.

Wanita itu juga mengakui telah menamatkan hubungan mereka kerana lelaki itu terlalu cemburu.

Menurut polis, sebaik ditarik keluar, lelaki itu kelihatan kepenatan.-AP

Sonora, terowong, cemburu

Artikel Lain