PROSES pengiraan kertas undi bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia kini melebihi 70 peratus, dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) selesa mendahului pencabarnya, Prabowo Subianto, dengan kelebihan 13.5 juta undi. Jokowi yang mempertahankan jawatannya, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma'ruf Amin memperolehi 61,207,039 undi. Manakala Prabowo dan pasangannya Sandiaga Uno memperolehi 47,647,252 undi. Mengikut real count atau pengiraan undi menerusi laman web rasmi Komisi Pemilihan Umum (KPU) setakat tengah hari ini, pengiraan undi itu melibatkan 577,855 Tempat Pembuangan Suara (TPS) atau pusat pengundian daripada keseluruhan 813,350 TPS. Pada 17 April lepas, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2019. Proses pengiraan undi Pemilu 2019 dijangka selesai 22 Mei ini. -Bernama