suria

Putin tersungkur di gelanggang hoki ais, visual dirakam pantas tular

Putin tersungkur ketika melalui karpet merah di tepi gelanggang semasa meraikan kejayaan pasukan hoki aisnya memenangi liga nasional baru-baru ini.

ENTAH di mana silapnya, ketika meraikan kejayaannya menjaringkan lapan gol pada perlawanan hoki ais, Vladimir Putin tiba-tiba tersungkur di gelanggang.

Kejadian berlaku ketika presiden Rusia itu sedang melambaikan tangan ke arah penonton susulan kemenangan pasukannya pada perlawanan Liga Hoki Nasional di Bolshoy Ice Dome Sochi, Moscow baru-baru ini.

Susulan insiden itu, rakaman visual yang sempat dirakam tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Sebaik jatuh, pemimpin berusia 66 tahun itu dilihat bangun semula dan dalam keadaan baik-baik sahaja.

Memakai jersi nombor 11, Putin dikatakan terjatuh apabila melalui karpet merah di tepi gelanggang hoki ais berkenaan.

Dua rakan sepasukannya yang berada dekat dengannya cuba membantunya tetapi terlewat apabila dia tersungkur.

Saat itu yang sempat dirakam terus tular, malah insiden itu juga dipersendakan di Twitter.

Turut sama dengan Putin dalam pasukannya adalah bintang hoki Rusia seperti Slava Fetisov dan Pavel Bure yang pernah bermain untuk Liga Hoki Nasional atau NHL di Amerika Serikat (AS).

Pasukan pemimpin Rusia itu berdepan pemain-pemain amatur terkenal, termasuk rakannya, Gennady Timchenko, jutawan Vladimir Potanin dan beberapa gabenor Rusia.

"Saya tidak mahu mati kerana keracunan plutonium, tapi saya ingin semua orang lihat Putin jatuh," demikian komen pengguna akaun @bethanyaball.

Pengguna akaun @spittinchiclets menulis; "Ya seseorang pasti akan mati untuk ini."

"Ya, mudah untuk menjaring gol ketika keeper tahu dia akan mati jika dia mencoba," tulis pengguna akaun @heckyessica, yang menyindir pemerintahan Putin yang dianggap bersifat autoritarian.-TheReuters

Putin, hoki ais, Moscow

Artikel Lain