suria

Bapa hantar sebuah helikopter ke sekolah anak perempuannya

Sebuah helikopter mendarat di sebuah sekolah di Beijing, China baru-baru ini.

SEORANG lelaki yang menghantar sebuah helikopter ke sekolah anak perempuannya di Beijing mempertahankan tindakannya yang dituduh mahu menonjolkan kekayaan, dengan alasan ia dibuat semata-mata untuk tujuan pendidikan.

Rakaman helikopter itu terbang di atas kawasan sekolah dan kemudian membuat pendaratan di lokasi itu tersebar secara meluas di media sosial.

Tetapi lelaki dari China itu yang hanya dikenal pasti dengan nama keluarga Chen, memberitahu Thepaper.cn bahawa dia menjalankan bisnes yang menawarkan 'tour' helikopter di ibu negara China dan pihak sekolah telah menjemputnya untuk membuat penerbangan sebagai sebahagian daripada kempen sains dan teknologi.

Anak perempuan Chen belajar di gred pertama di sekolah rendah Fengdan di daerah Haidian, Beijing, sebuah kawasan terkenal di mana beberapa universiti terkemuka negara ini terletak di situ.

Tambahnya, dia berpendapat menjelaskan bagaimana helikopter terbang dapat membantu anak-anak untuk lebih memahami teori graviti.

"Saya berharap dapat memberikan lebih banyak peluang kepada anak-anak untuk melihat helikopter dengan lebih dekat dan mencetuskan minat dalam penerbangan sesama mereka," kata Chen kepada media tempatan.

Murid-murid diharap dapat belajar sesuatu melalui helikopter yang mendarat di sekolah mereka. -foto qq

Bagaimanapun ada ibu bapa yang menunjukkan sokongan mereka.

"Sebagai ibu bapa kanak-kanak yang belajar di sekolah rendah Fengdan, saya amat gembira.

"Kanak-kanak dapat peluang untuk melihat helikopter dengan lebih dekat dan dalam masa sama mendapat pengetahuan tentang beberapa teori. Ia benar-benar hebat," kata seorang wanita bernama Xing.

Tetapi beberapa pengguna media sosial menuduh bahawa dia hanya mahu menonjolkan kekayaannya.

"Kemiskinan membataskan imaginasi saya. Jurang kekayaan semakin besar dan lebih besar," kata seorang pengguna Weibo.

Terdapat beberapa insiden lain yang mana ibu bapa dianggap sengaja mempamerkan kekayaan mereka sebelum ini.

Oktober lalu, seorang bapa di timur China yang menghantar anaknya ke sekolah dengan sebuah Ferrari berdepan pemulauan sosial selepas dia enggan menggunakan kereta murah. -SCMP/StarOnline

helikopter, sains

Artikel Lain