RAMAI yang akan fikir jika mempunyai ibu bapa atau keluarga kaya, maka kekayaan tersebut akan dinikmati si anak. Ternyata, tanggapan itu tidak benar kerana amalan tersebut tidak dilakukan oleh salah seorang individu terkaya di dunia, bekas CEO Microsoft, Bill Gates. Bill beberapa kali menegaskan bahawa dia tidak mahu memanjakan anak-anaknya dan salah satunya adalah dengan tidak mewariskan harta kepada anak-anaknya. Malah dia merancang untuk menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya untuk kemanusiaan. Bill tidak cakap kosong! Kenyataan itu dibuktikan oleh puteri sulungnya, Jennifer baru-baru ini. Salah satu kebiasaan yang masih dilakukannya sejak kecil sehingga saat ini adalah memperuntukkan wang sakunya untuk menderma. Perkara ini dinyatakan Jennifer ketika dia membuka ruang untuk para pengikutnya di Instagram bertanyakan soalan. Salah seorang pengikutnya bertanya tentang duit poket yang diperolehi Jennifer daripada bapanya. "How much pocket money did u get from your father when you are child? (Berapa banyak duit poket yang kamu dapat daripada bapa kamu ketika masih kecil?)," tanya salah seorang pengikut Jennifer di Instagram. Jennifer menjawab soalan itu juga melalui postingnya di Insta Story. "AS$6 (RM25)-AS$11 (RM46) a week but 2-3 had to go to charity or savings. Usually I donated My 2-3 a week to humane society (AS$6-AS$11 seminggu, tapi 2 ke 3 dolar perlu didermakan atau masuk tabung. Biasanya, saya mendermakannya untuk kemanusiaan),” jawabnya. Ini bermakna, jika ditukarkan kepada RM, wang saku Jennifer semasa kecil sekitar RM45 saja. Tentunya jumlah ini nampak tidak hebat untuk seorang anak orang terkaya di dunia. Selain itu dia juga menyebut bahawa ibu bapanya serta pengasuhnya tidak memanjakan dirinya sejak kecil. "Kami bersyukur dengan pendidikan yang dibiayai penuh, makanan yang bagus, serta pengalaman hidup luar biasa di usia muda," katanya. -Kumparan