AIR mineral botol yang diimport dari Malaysia telah ditarik balik oleh pihak berkuasa Singapura selepas bakteria dikesan dalam produk tersebut. Ia susulan Agensi Makanan Singapura (SFA) melakukan persampelan rutin dan mengenal pasti kehadiran 'Pseudomonas aeruginosa', bakteria alam sekitar yang biasa terdapat dalam najis, tanah, air dan kumbahan. SFA menjelaskan bakteria tersebut boleh membiak dalam persekitaran air dan permukaan bahan organik yang sesuai dengan air. Penggunaan produk yang tercemar boleh mengakibatkan jangkitan, tetapi jarang menyebabkan penyakit serius terhadap individu yang sihat. Dalam siaran akhbar semalam, SFA berkata pihaknya telah mengarahkan pengimport, Radha Exports untuk memanggil balik semula semua produk jenama Starfresh dengan isi padu 500ml dan 1.5l yang terlibat. Pengguna yang telah membeli Starfresh 'dinasihatkan untuk tidak meminumnya'. Mereka yang telah minum air tersebut dan mempunyai kebimbangan tentang kesihatan harus mendapatkan nasihat perubatan, kata SFA. Radha Exports memberitahu CNA bahawa semua botol yang terjejas, yang berasal dari sebuah kilang di Malaysia, telah mula ditarik balik dari rak-rak jualan. -Coconuts