suria

Tersilap pasang sambungan bulu mata palsu, wanita alami kesakitan pada kelopak

Mangsa mengalami kesakitan di bahagian kelopak mata.

SEORANG wanita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya mahu melakukan sambungan bulu mata selepas menderita kesakitan akibat kesilapan juruteknik yang menawarkan perkhidmatan itu.

Shannon Horne, 20, berkata bulu mata jenis 'Russian Glam' yang dikehendakinya tersilap pasang menyebabkan dia mengalami kesakitan di bahagian kelopak mata.

Menurut wanita dari Crediton di Devon, dia mengenali juruteknik itu menerusi Facebook tetapi sebaik sahaja rawatan itu selesai dia menyedari ada sesuatu tidak kena dengan bulu matanya.

Bulu mata palsu kebiasaannya disambung dengan bulu mata asli tetapi Shannon berkata itu tidak dilakukan juruteknik terbabit.

"Dia melekatkan bulu mata palsu itu pada kelopak mata saya. Kedua-duanya melekat.

"Sebaik sahaja dia pergi, saya rasakan sesuatu melekat pada mata saya," katanya.

Shannon terpaksa menanggalkan bulu mata palsu itu menggunakan khidmat juruteknik lain.

Shannon berkata juruteknik itu menggunakan terlalu banyak gam dan tindakan tersebut boleh merosakkan bulu mata aslinya.

"Saya tidak suka bersemuka dengan seseorang jadi saya hubungi juruteknik itu untuk memaklumkan masalah menimpa saya.

"Saya minta bayaran balik tetapi dia tidak mahu menyelesaikan perkara itu secara baik," katanya.

Sebaliknya Shannon berkata juruteknik itu mencadangkan agar rawatan baharu dilakukan tetapi dia enggan mengambil sebarang risiko.

Juruteknik itu memulangkan 30 pound sterling daripada 50 pound sterling yang dibayar Shannon selain memadam akaunnya daripada senarai rakan di Facebook.

Shannon akhirnya menanggalkan bulu mata palsu itu keesokan harinya menggunakan khidmat juruteknik lain.

Katanya proses tersebut amat menyakitkan dan dia bersyukur kerana tidak hilang lebih enam atau tujuh daripada bulu mata aslinya. - Mirror.co.uk

Artikel Lain