SEBUAH keluarga dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau betina yang sedang lena tidur di dalam rumah mereka. Difahamkan harimau itu melarikan diri dari Kaziranga National Park di utara-timur India yang terjejas akibat banjir. Sekurang-kurangnya 92 haiwan dari taman hidupan liar itu maut beberapa hari lalu. Pemilik kediaman itu yang dikenali sebagai Motilal dan keluarganya menyedari kehadiran harimau tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi. Sebaik terlihat kelibat haiwan itu tidur lena di atas sebuah katil, mereka bertempiaran lari ke luar rumah. Menurut Wildlife Trust of India (WTI), harimau itu dikesan berada di sebatang jalan pada pagi Khamis, kira-kira 200 meter dari taman hidupan liar terbabit. Haiwan itu dipercayai takut dengan keadaan lalu lintas lalu bertindak bersembunyi di dalam salah sebuah rumah. Rathin Barman yang mengetuai operasi menyelamat berkata:"Harimau itu kelihatan keletihan dan dia tidur dengan nyenyak sekali." - Mirror.co.uk