suria

Hakim korup diheret keluar mahkamah untuk jalani hukuman penjara enam bulan

Hunter (kiri) diheret polis selepas dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

SEORANG hakim yang terbabit kes rasuah terpaksa diheret keluar dari bilik perbicaraan oleh polis untuk memulakan hukuman penjaranya.

Hakim juvana Tracie Hunter mula menjalani hukuman penjara enam bulan pada Isnin kerana didakwa memberikan abangnya yang juga bekas kakitangan kerajaan rekod rahsia secara haram untuk membantunya terus bertugas di Hamilton County, Ohio.

Bilik perbicaraan itu bertukar kecoh selepas Hakim Patrick Dinkelacker menjatuhkan hukuman yang dikenakan pada 2014 tetapi ditangguhkan sementara Hunter mengemukakan rayuannya.

Rakaman pergaduhan di kamar perbicaraan menunjukkan beberapa penyokong Hunter pergi bersemuka dengan hakim dan polis ketika mereka membantah keras keputusan itu.

Seorang wanita memakai baju-T yang tertera perkataan 'Justice for Judge Tracie M Huntter' dilihat dalam keadaan bergari ketika Hunter diheret polis.

Kes membabitkan Hunter menjadi perbalahan hangat di Cincinnati dan melibatkan abangnya, Stephen Hunter yang bertugas sebagai pegawai belia pada Julai 2013.

Peguam Hunter berkata mereka merancang untuk memfailkan usul untuk menolak kes itu terhadap hakim juvana berkenaan.

Selepas perbicaraan selesai, penyokong Hunter kembali berhimpun di luar mahkamah untuk menyuarakan bantahan mereka. - Metro.co.uk

Artikel Lain