SEORANG ibu kepada lapan anak, termasuk kembar lima terpaksa bersikap jujur apabila mendedahkan anak-anak mejadi punca rumah tangganya runtuh. Kim Tucci menjadi tajuk berita pada Januari 2016 ketika dia melahirkan bayi kembar lima - Keith, Ali, Penelope, Tiffany dan Beatrix. Dia dan suaminya, Vaughan Tucci ketika itu sudah mempunyai tiga anak, Kurt, 8, Ava, 4, dan Indiana, 2 tahun. Ini bermakna isi rumah mereka berkembang menjadi 10 ahli dalam sekelip mata. Kim, yang mencatatkan tentang kehidupannya di media sosial sering menyentuh mengenai kesusahan dan cabaran yang dihadapi apabila mempunyai lima bayi sekali gus, termasuk tidur tak mencukupi dan kemurungan selepas bersalin. Kini dia mendedahkan tentang perkahwinannya, memberitahu Mamamia bahawa dia dan Vaughan sedang menjalani tempoh percubaan untuk bercerai dan tinggal berasingan. "Kesilapan terbesar kami ialah kami memberi tumpuan kepada anak-anak dan kami 'hilang' diri sendiri dalam proses ini. "Kami bersama selama 10 tahun sebelum ini dan tiba-tiba ia seperti orang asing... berjumpa bila perlu sahaja," katanya. Kehadiran 5 bayi kembar mengubah kehidupan keluarga Kim. -foto Instagram Kim berkata dia dapat melihat apa kesalahan mereka dan ia adalah sesuatu yang sangat menyedihkan. Dalam tempoh sementara ini, suaminya datang untuk melawat lapan anak mereka, dengan Kim adalah penjaga tunggal hampir sepenuh masa. Pasangan itu kali terakhir muncul bersama dalam posting Instagram, Februari lepas. "Dalam banyak gambar kami nampak tersenyum hanya untuk flash kamera, tetapi jika tiada kamera, segalanya menyedihkan," katanya. "Saya sayangkan suami saya, tetapi saya sering tertanya-tanya jika cinta sudah mencukupi untuk menembusi fasa sukar ini dalam kehidupan kami. Tahukah anda bahawa kadar perceraian meningkat untuk mereka yang mempunyai kembar, kembar tiga dan ke atas? "Kehidupan biasanya berkisar tentang anak-anak dan kebanyakan hari kita berjuang untuk mencari masa untuk diri sendiri."