KAKITANGAN sebuah zoo di selatan Perancis meluahkan rasa marah atas tindakan pengunjung yang mengukir nama mereka di atas badan seekor badak. Haiwan berusia 35 tahun itu diukir dengan nama Julien dan Camille. Foto kejadian malang yang berlaku di Zoo La Palmyre tersebar sejak awal minggu ini. "Seorang individu bertindak mengukir nama mereka di atas kulit belakang badak," ujar pengarah zoo itu, Pierre Caille. Malah, pihak zoo meluahkan rasa kurang senang atas tindakan berkenaan yang disifatkan dangkal dan tidak menghormati haiwan. Foto dua nama yang diukir atas belakang haiwan itu menjadi tular di media sosial. Pihak zoo juga merancang untuk meletakkan kamera CCTV bagi mengelakkan kejadian seumpamanya pada masa akan datang. - Indipendent UK.