suria

Sembunyi bayi dalam beg, wanita AS ditahan di lapangan terbang Manila

Bayi lelaki yang tidak diketahui usia dan kewarganegaraan itu ditemui dalam bagasi wanita AS di lapangan terbang Manila.

SEORANG wanita warga Amerika Syarikat (AS) ditahan awal pagi Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (Naia) di Manila selepas pemeriksaan pihak berkuasa menemui seorang bayi lelaki dalam bagasinya.

Jurucakap timbalan Biro Imigresen (BI), Melvin Mabulac berkata, wanita itu dikenal pasti sebagai Jennifer Talbot, 43.

Susulan penemuan bayi berkenaan, wanita berkenaan telah diserahkan kepada Biro Siasatan Nasional Filipina untuk tindakan lanjut.

Mabulac memberitahu Inquier.net, Talbot sepatutnya meninggalkan Filipina untuk pulang ke AS apabila pegawai di Terminal 3 Naia menjumpai bayi itu dalam bagasinya kira-kira pukul 6.20 pagi.

"Bayi itu disembunyikan dalam beg besar bertali dan kehadirannya tidak diisytiharkan atau tidak dimaklumkan kepada pegawai imigresen ketika pemeriksaan dijalankan," demikian menurut BI.

Kata Mabulac, hasil pemeriksaan juga tidak dapat mengesahkan Talbot adalah ibu atau penjaga kepada bayi berkenaan kerana tiada dokumen peribadi berkaitannya ditemui.

Tambahnya lagi, kewarganegaraan dan usia bayi lelaki itu juga menjadi tanda tanya.

"Yang pasti bayi lelaki itu dalam keadaan sihat dan akan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan dan Kebajikan Sosial," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, Ed Montreal mengarahkan supaya siasatan terperinci dilakukan ke atas kejadian berkenaan.- Philippine Daily Inquirer/Asia News Network


Naia, Manila, Talbot, imigresen

Artikel Lain