PENYELIDIK mendapati mayat bergerak dengan ketara semasa proses pereputan menerusi satu kajian yang dilakukan di sebuah ladang mayat di Australia. Pakar yang menganalisis mayat di luar Sydney mendapati mayat terus bergerak sepanjang tempoh kajian selama 17 bulan. Penemuan itu amat penting dalam membantu polis dan penyiasat apabila mereka mengkaji mengenai kematian. Penyelidik Alyson Wilson menggunakan kamera untuk mengetahui bagaimana mayat mereput dengan merakam proses itu setiap selang 30 minit. Wilson terkejut dengan pergerakan itu yang mungkin disebabkan proses pengecutan apabila ligamen badan kering berterusan lebih lama daripada yang dijangkakan. "Kami dapati pergerakan di bahagian lengan lebih ketara. Mengetahui pergerakan semasa proses pereputan amat penting ketika menentukan apa yang terjadi. "Ia juga penting untuk mangsa dan keluarganya. Dan dalam banyak kes ia menjadi suara terakhir mangsa untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku," katanya. Ladang mayat itu diuruskan Kemudahan Australia untuk Penyelidikan Eksperimental Taphonomic (AFTER). - Metro.co.uk