suria

Bayi perempuan dilahirkan dengan 4 kaki, 3 tangan bersama dua saudara kembar mengejutkan pasukan perubatan

Kelahiran seorang bayi perempuan dengan empat kaki dan tiga tangan, bersama dua saudara kembarnya mengejutkan pasukan perubatan di India. -foto Caters

SEORANG wanita melahirkan seorang bayi perempuan yang mempunyai empat kaki dan tiga tangan.

Ibunya tidak pernah melakukan imbasan semasa mengandung, justeru kelahiran bayi itu bersama saudara kembar lelaki yang sihat menjadi kejutan kepada petugas perubatan di India.

Pakar menganggap wanita yang pertama kali melahirkan anak ini sepatutnya mendapat kembar tiga tetapi hanya sepasang yang bercantum membentuk bayi kembar.

Bayi perempuan ini akan dirujuk ke hospital yang lebih maju untuk rawatan berikutnya. -foto Caters

Ibunya, Raju Gurjar, 24, melahirkan ketiga-tiga bayi pada Jumaat di sebuah hospital kerajaan di Tonk, Rajasthan.

Walaupun pasangan kembar lelaki itu sihat, bayi perempuannya dilahirkan dengan tambahan dua kaki dan satu tangan yang melekat di badannya.

Doktor percaya anggota tambahan itu boleh dibuang melalui pembedahan.

Dr Rohitesh Meena, pakar bedah yang menyambut kelahiran bayi itu berkata: "Raju melahirkan anak kembarnya secara semula jadi sekitar jam 2.46 pagi. Anak lelakinya normal, tetapi tidak bagi bayi perempuannya.

"Dia mempunyai sedikit masalah pernafasan. Kami meletakkannya pada sokongan oksigen dan dia stabil sekarang.

"Kami akan merujuknya ke hospital lebih maju di Jaipur untuk rawatan lanjut dan pembedahan pediatrik. Ibu dan anak lelakinya stabil," katanya.

Menurut doktor, kaki dan tangan tambahan bayi ini boleh dibedah. -foto Caters

Raju dan suaminya, Badhulal, tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan selama kehamilan.

Dr Meena berkata: "Mereka tidak pergi membuat imbasan. Mereka terkejut selepas kelahiran bayi perempuan itu."

Doktor percaya ini menjadi kes pertama di mana kembar tiga dilahirkan secara semula jadi tetapi hanya satu pasangan yang melekat. -MetroUK

kembar, triplet, aneh, India

Artikel Lain