KITA sudah biasa dengar kejadian malang apabila telefon atau power bank meletup ketika sedang dicas. Tapi, itu tidak bermakna peranti-peranti ini selamat walau ia hanya dibiarkan begitu saja. Seorang netizen di Thailand baru-baru ini berkongsi tentang kejadian yang menimpanya di Facebook apabila dia nyaris terbakar apabila meninggalkan power bank di sebelah katilnya semalaman dan terjaga pada pukul 5 pagi kerana terhidu bau hangit. “Saya sedang tidur tetapi terbangun apabila batuk sekitar 5 pagi. Saya nampak asap di sekeliling saya, tingginya sekitar 20cm. Saya segera memadamkan api itu dan lihat ia berpunca dari power bank yang meletup,” katanya. Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi bersama dengan posting itu, power bank tersebut rentung dan bentuknya hampir tidak dikenali! Mangsa mengakui dirinya nyaris terbakar selepas power banknya meletup. "Pastikan beli dari kedai yang dipercayai sahaja. P.S. Ia bukan berlaku ketika ia sedang dicas, ia hanya diletakkan di lantai,” tuiisnya. Posting itu tular dengan mendapat hampir lebih 1,000 perkongsian dan lebih 1,200 tanda suka. Netizen tertanya-tanya bagaimana ia boleh meletup walaupun tidak dicas! Ada yang mengaitkannya dengan sebab power bank tidak dibenarkan dibawa masuk dalam penerbangan. Ada juga yang mengagak kejadian ini mempunyai kaitan dengan cas lebih masa. Menurut Mobile Charger, power bank berrisiko meletup apabila reka bentuk litar dipasang secara tidak betul, yang cenderung berlaku apabila peranti dibeli pada harga yang tidak munasabah dari pembekal yang boleh dipertikaikan. "Jika reka bentuk litar tidak sejajar dengan standard keselamatan bateri, risiko untuk power bank itu meletup meningkat."