HARUAN makan anak!. Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan situasi dialami remaja perempuan ini yang menjadi mangsa nafsu buas bapa sendiri. Shannon Clifton, 19, menjadi mangsa nafsu buas bapanya sejak berusia enam tahun. Bapanya, Shane Ray Clifton merogolnya dan melakukan penderaan seksual selama lapan tahun sehingga dia berusia 14 tahun. Mengejutkan, Shannon berkata perlakuan itu dilakukan bapanya kadang kala sehingga empat kali sehari. Shannon berkata dia tinggal bersama bapanya pada usia lima tahun, apabila ibu bapanya berpisah. Shannon melahirkan bayi pertama pada usia 13 tahun. “Kali pertama ia berlaku adalah ketika kami berpindah ke sebuah flat berhampiran Elvaston Castle,” katanya. “Ketika saya masih kecil, hanya sekali atau dua kali (dirogol) tetapi ia mula menjadi setiap hari, kemudian beberapa kali sehari," katanya. Shannon berkata dia sering dirogol sebelum dan selepas sekolah dan kadang-kadang di tengah malam. Apabila Shannon berumur 11 tahun, dia mendapat tahu bahawa dirinya mengandung, namun kandungan itu gugur ketika berusia 28 minggu. Shannon hamil semula pada Disember 2012 dan dia akhirnya melahirkan bayi ketika berusia 13 tahun. Bapanya akhirnya dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun tetapi telah dikurangkan kepada 10 tahun. Shannon bercadang untuk menyembunyikan diri sebelum bapanya dilepaskan dari penjara. Remaja itu turut berkongsi pengalaman menerusi sebuah buku, The Monster I Loved untuk memberi inspirasi kepada orang lain. - Mirror